Thursday, March 19, 2009

Kenapa Udang Galah Salin Kulit??

Setiap binatang yang bercengkerang seperti ketam atau udang akan bersalin kulit untuk membesar. Oleh itu udang galah, khususnya akan bersalin kulit banyak kali untuk mencapai saiz yang besar seperti 100 gram atau lebih. Tetapi , apabila udang bersalin kulit ia mempunyai kelemahan. Udang bersalin kulit tidak boleh mencari makanan, lemah kerana badan yang terlalu lembik serta boleh menjadi makanan kepada udang galah yang lain (udang galah bersifat kannibalisme). Pada masa ini selalunya ia akan mencari tempat perlindungan yang keras dan tersorok sehingga kulit kembali keras. Tempoh masa untuk kulit kembali keras adalah sesuatu yang subjektif tetapi pengerasan kulit memerlukan beberapa mineral penting seperti kalsium dan magnesium.

Kedua-dua mineral ini boleh didapati secara semulajadi tetapi memakan masa lama untuk mengeraskan kulit udang, kecuali jika sumber air anda dari bukit batu kapur seperti di bahagian utara Malaysia (batu kapur adalah sumber asli kalsium). Oleh itu penggunaan kapur amat penting untuk mengeraskan kulit udang secepat mungkin. Baiklah, ada beberapa jenis kapur yang wajib diketahui namun di dalam blog ini saya hanya akan terangkan kapur untuk pengerasan kulit udang iaitu kapur sejuk atau calcium carbonate.

Calcium Carbonate adalah kapur yang dikhaskan untuk mengeraskan kulit udang. Kapur ini tidak akan menjejaskan kualiti air seperti kenaikan pH mendadak tetapi menambahkan alkaliniti dan kandungan kalsium serta magnesium di dalam kolam. Oleh itu, harus diingati penggunaan kapur sejuk dan tempat berlindung untuk udang galah adalah penting jika ia sedang salin kulit.

No comments:

Post a Comment